Jumaat, 3 November 2017

Komatos (intro)

Di luar jendela: Bunyian irama sisa hujan menghempas longkang serta dedaun. Speaker komputer: Suara Potishead sayup-sayup kedengaran. Lelangit bilik: Kipas yang belom dicuci bilahnya menawarkan bunyi angin. Aku ada diantaranya. Katil: Meringkuk sekujur badan manusia. Aku? aku tidak tahu. Comforter: Aku cuba mengingati bila kali terakhir aku membasuhnya. Ia tidak terlalu busuk, masih menyenangkan. Tubuh: Kerja seminggu buat jumaat adalah hari yang penat untuk berbuat apa-apa. Kemas bilik? basuh motor? Habiskan Metamorfosis dan novel Milan Kundera? Lepak dengan kawan? Itu hanya angan-angan waktu sedang bekerja. Ia masih melekat difikiran tanpa sebarang aksi. Katil ini telah merampas semuanya. Ahh, aku hanya ingin berbaring tanpa rasa. Fikiran: Rusuh? Sepi? Bingung? Tidak tahu aku berada di antara apa. Musik: trek lagu bertukar, Numb ambil tempat. Suara Beth Gibbson dalam lagu ini menjengkelkan. Ia terlalu dibuat-buat. Pintu: Ibu mengetuk bertanyakan sudah solat belum? Ada laksa di dapur. Aku hanya jawab ya beberapa kali. Apalah kehidupan kalau tidak berbohong kepada ibu? Puisi: didalam kepala ada beberapa rangkap yang kususun. Tentang? Bunyi hujan? Lagu Potishead? Bunyi kipas atau comforter yang berbau? Lama-lama aksara yang ku susun susut hilang, cuba ingat, ia terlalu penat untuk mengingati semula. Aku dapat lihat aksara-aksara itu terhapus bak asap rokok yang bersatu dengan udara. Kaki: Aku seperti merasakan sesuatu, aku alih comforter, aku tidak nampak kaki kananku. Aku ingin bangun, rupanya badanku sudah tiada. Kakiku sikit-sikit makin hilang. Cebis-cebisnya terbang seperti gumpalan asap lalu hilang. Tangan: cuba merapa wajah. Tak, ini bantal. Bukan wajahku. Di mana kepalaku? Musik: Intro Silence masih aku dapat cam. Bunyi kipas juga masih dapat aku dengar, kecuali jasadku yang telah hilang. Apakah aku sudah bersatu dengan udara? Berada  di antara semua bunyi tadi?


Ahad, 29 Oktober 2017

Pasca Hardisk rosak

External hardisk rosak buat saya agak kemurungan lebih-lebih lagi sikap culas saya tidak update google Drive file-file penting seperti tulisan cerpen atau esei saya. Tambah ralat bila saya mengenangkan apakah nasib watak-watak saya di dalam hardisk jenama Seagete itu. Kiamat External Hardisk saya sudah berlaku. Mungkin watak-watak cerita saya sedang berada dalam ruang apokalips yang durjana suasananya. Saya harap mereka semua selamat.

Sabtu, 28 Oktober 2017

Perlu dan Memerlukan

Kata kawan saya "jarak itu subjektif". Saya percaya kata-katanya. Atau dalam kata lain abstrak seperti masa. Masa itu abstrak. Kadang kita terasa masa itu singkat dan kadang ia laju, kenapa? saya sendiri belum faham sepenuhnya. Bila saya terperuk di dalam bilik- baring di atas katil atau atau tidak melakukkan apa-apa yang serius, saya dapat rasakan masa itu perlahan pergerakkannya dan bila saya melakukkan sesuatu kerja yang urgent masa seperti dibunuh begitu cepat sekali. Ia terpulang juga  pada kerja yang saya lakukan. Jika ia kerja yang memerlukkan skil atau komitmen yang tinggi seperti bertukang saya rasa masa itu bergerak perlahan pula. Entahlah.

Jarak pula subjektifnya berbeza pula. Saya tinggal di Kelantan atau lebih spesifik, Pasir Mas. Saya melalui dua situasi. Pertama: apabila saya berkelana di Kuala Lumpur. KL dari Pasir Mas mengambil masa 6-7 jam untuk sampai. Ia jarak yang biasa saya lalui. Apabila biasa saya tidak merasakan ia jauh tambahan pula saya memerlukkan KL untuk bekerja dan kelangsungan hidup saya. Bila saya ajak kawan dari KL saya datang Kelantan, bagi mereka ia sesuatu yang luarbiasa jauh. Saya mengerti. Mereka tidak biasa dengan jarak itu. Tambahan pula mereka tidak memerlukkan Kelantan seperti mana saya memerlukan KL-dari sudut kelangsungan hidup. Begitu juga semasa saya belajar di Johor Bharu. Kawan saya orang jauh merasa begitu jauh dengan jarak itu dan saya sudah biasa merentas 12 jam perjalanan bas Kelantan-JB. 

Bagi saya jarak menjadi subjektif bukan kerana selalu melaluinya tapi keperluan individu.  Saya memerlukan JB dan KL untuk kepentingan dan kelangsungan hidup saya. 

Situasi kedua: Pasir Mas-Kota Bharu, Jarak ini hanya rentas 20 minit perjalanan sahaja melalu jalan Salor dan ia tiada masalah bagi saya yang memerlukan Kota Bharu- untuk lepak dan kerja. Pasir Mas tidak semaju KB. Bandar KB menawarkan apa yang tiada di bandar Pasir Mas membuatkan orang Pasir Mas lebih memerlukan KB dalam banyak hal. Saya kira itu antara penyebabnya kenapa orang KB merasa jarak itu jauh apabila saya katakan saya berulang hampir setiap hari dari Pasir Mas ke KB. Walaupun terkadang saya agak tersinggung dengan kawan saya bila saya mengajak datang lepak ke Pasir Mas dengan alasan jaraknya jauh dan mereka lebih selesa mengajak saya datang lepak ke KB atas alasan disana lebih banyak pilihan kedai makan dan tempat lepak. Apa boleh buat?

Sebab itu Perlu dan memerlukan itu buat jarak (masa juga mungkin) itu menjadi subjektif. Ini mentaliti yang saya sudah lama tanam seperti mana mentaliti seorang imigran yang perlu atau mesti setkan dalam kepala mereka yang mereka idak banyak pilihan dalam hidup. 


 


Rabu, 6 September 2017

Zine Cah Keting





Zine kumpulan cerpen tulisan saya. Ada 6 cerpen dan satu cerpen visual di kulit buku. Boleh e-mail kepada saya untuk dapatkan . Harga RM10

E-mail saya
anasilara@gmail.com

Ahad, 13 Ogos 2017

Musik dan imej

Musik adalah imej memori. Membuatkan kesedaran kita tidak bergerak selari dengar waktu. Tidak linear. Seperti saya sekarang, sewaktu tulisan ini saya ukir, saya sendang mendengar playlist lagu Vancouver Sleep Clinic - Aftermath, Collapse, Flaws, Rebirth, buat kesedaran saya kembali pada waktu saya di bilik kolej sewaktu menuntut master senibina dimana saya begitu keseorangan dan sunyi dan akhirnya saya gagal dan flop master. Dalam ingatan itu juga buat saya teringat waktu apa yang saya sedang fikir - sub memori. Waktu itu saya ingat kesakitan-kesakitan kecewa ditinggalkan dan sisa curang bekas teman wanita saya. Lagu terus bermain buat saya merasa kesedaran saya terus tengelam dalam telaga memori yang dalam. Ia membuka tingkap-tingkap sejarah hidup saya.

Adakah saya patut menghentikan lagu ini bermain. Tak, ia seolah menyelesakan walaupun saya kesakitan dihiris pisau-pisau kekecewaan. Saya fikir manusia memang begitu - atau mungkin saya sahaja, cenderung untuk mendengar lagu melankolik walaupun dalam keadaan sedih. Tidak melawan perasaan sedih itu sebaliknya melayan sahaja. Seperti penyair menulis sajak berbaur pesimis lagi melankolik.

Melankolik itu buat badan saya lemah jika terlalu dilayan namun saya tak menolak manusia perlukan melankolik untuk memenuhi tuntutan ekspresi diri. Seperti menangis untuk tujuan melepaskan kekecewaan.

Tapi bukan musik melankolik saja buat imej-imej terbentang di daerah memori. Seperti lagu Oasis-Stand by Me atau The Cure - Boy dont Cry buat saya teringatkan kenangan asrama dan kawan-kawan. Tapi begitulah memori adalah si buta yang tidak jumpa jalan keluar dari kepala kita. Nostalgia ini seperti air juga. Jika diminum terlalu banyak boleh merosakkan badan waima ia bagus untuk badan. Ia terus meninggalkan kita. Sedang kita hanya ada masa kini - sekarang, present.

Bolehkan musik membentuk imej masa depan. Kenapa tidak? Musik adalah fiksyen terbaik untuk manusia, saya fikir. Saya bayangkan lagu-lagu Mew selalu buat saya terperangkap dalam majis imajinasi. Juga lagu Wish you were here dendangan Pink Flyod buat saya terbayangkan masa depan saya nanti, pasti saya akan keseorangan dan teringat pada teman yang telah tiada.

Ya masih dalam relung nihilis. Saya tidak dapat menolak diri dari terus merasa nihil. Dan musik menemani saya.

Jumaat, 4 Ogos 2017

Dalam kepala : Lima

Saya

            mahu

                         keluar


 dari

                                                         neraka



                    yang                              

                                        saya                                          cipta            



                                                        sendiri,






                                                                                                                  sebenarnya

                                                                                                                                      .

Dalam Kepala : empat

Saya tidak mahu lagi melihat dunia ini dengan pandangan yang terlalu berat. Atau berfikir terlalu dalam hingga buat diri saya kemurungan. Saya juga tidak lagi mahu menghabiskan sisa-sisa hidup saya berfikir tentang melawan norma kehidupan. Saya sudah penah bertengkar dengar waktu. Ia melelahkan saya.

Saya mahu habiskan  hidup saya dengan bekerja dengan sepenuh hati. Pulang kerja dengan kepenatan lalu tidur tanpa memikirkan apa-apa tentang persoalan hidup. Tuhan tidak pernah membantu saya jika saya banyak berfikir. Tuhan tidak pernah kasihan pada saya. Tiada guna saya berfikir tentang masalah masyarakat. Kenapa perlu saya berfikir lagi kalau itu hanya menyakitkan saya. Ia sia-sia. Hanya buat saya bermusuh dengan diri saya? Bermusuh dengan manusia sekitar saya. Tiada guna lagi.

Saya mahu berhenti berfikir. Saya juga mahu berhenti menulis. Menulis selalu buat saya berfikir. Saya tidak mahu lagi.

Saya mahu norma. Saya mahu masuk dalam masyarakat yang norma. Saya mahu realiti.

Saya mahu bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja. Pulang lalu tidur, bangun lalu kerja. Saya mahu ulanginya sampai saya masuk neraka.

Di neraka saya mahu dibakar hingga saya tak dapat rasa apa-apa lagi.

Isnin, 31 Julai 2017

De-zine

Diaman kata teman saya bukan hanya milik manusia sahaja. Kotak mancis adalah diaman buat mancis, dahan pokok rambutan boleh jadi diaman buat ayam tidur atau mungkin rebannya atau burung walid dengan penghuni diaman ruang gelap. Pokoknya semua punya diaman masing-masing.

Kertas adalah ruang kediaman buat aksara-aksara berkumpul lalu mmebikin lembar-lembar kertas bernama buku. Dalam hal membikin zine adalah seperti saya desain sebuah rumah. Tiada apa yang paling utama dalam dezain rumah adala soal ruang (pokoknya tidak kisah dezain bagunan jenis apa pun, Rumah adalah analogi yang suka saya guna). Pada saya estetika rupagaya bangunan jatuh pada nombor dua kerana yang paling utama adalah esensi ruang. Ruang yang selesa itu akan buat penghuninya selesa di dalamnya. 

Saya adalah pembikin zine (dalam kata lain-arkitek zine). Klien saya adalah manusia - pembaca. Kertas adalah ruang manakala jenis kertas adalah material. Ruang kertas; bila bercakap soal ruang ia berkait dengan size setiap helaian. Zine adalah produksi mandiri - DIY dimana semuanya perlu saya bikin sendiri- dari hal kertas hingga pencetakkan. Keluasan ruang (size kertas) bergantung pada wadah apa yang cuba dibikin- kalau Zine Foto mungkin akan mengunakan size A4, Kalau zine jenis majalah kebiasaanya guna A4 yang dilipat dua menjadi A5, Namun ia masih tidak terikat dalam size yang dah di standardkan, bergantung pada kreativiti dan keselesaan. 

Zine dalam sejarahnya ialah produksi DIY yang mengandungi tulisan/risalah atau foto yang dicetak secara fotokopi. Dari segi kualiti ia tidak dititikberatkan sangat kerana yang penting isi kontent di dalamnya. Namun bagi saya produksin zine haruslah bergerak kedepan. Saya percaya kepada kualiti. Kualiti ini seperti dezain cucur atap yang lebar yang mampu menghalang tempias air hujan / panas matahari terus kepada sebuah ruang untuk keselesaan mendudukinya. Nyaman semestinya. Dezain sebuah ruang juga bergantung pada material yang digunakannya (seperti dinding atau jubin). 

Seperti itu jugalah dalam penghasilan zine. Pemilihan size kertas dan material penting. Sebagai contoh saya menghasilkan zine cerpen. Jumlah perkataan yang banyak buat saya perlu ambil kira susunan aksara dalam satu halaman. Contohnya dalam satu baris ayat berapa perkataan yang perlu disusun? Jika dalam satu baris terlau panjang boleh buat pembaca penat mengerakkan mata dari kiri ke kanan. Malah dalam satu halaman berapa banyak baris yang perlu disusun? Terlalu banyak baris buat pembaca rasa sesebuah teks itu terlalu panjang. Spacing antara teks dan saiz font harus diambil kira. Material; kertas apa yang dipakai atau warna kertas? Kalau perasan, warna kertas A4 yang terdapat dipasaran (yellowpage atau Double A) punya brightness yang boleh buat kita cepat sakit mata akibat silau. Berbanding kertas kekuningan  atau kertas putih yang mengandungi peratus brightness yang kurang seperti kertas novel akan beri keselesaan pada mata pembaca. Binding itu seperti dekorasi dalam sesebuah ruang, Ia bergantung pada anda! Mau  binding secara jahit atau konversional stapler atau pakai pengepit. Bestnya bikin zine ni ia fleksibel dan ikut kreativiti masing-masing.

Sekarang bukan hanya tentang konten dalam sesebuah zine. Saya teringat abang saya cakap, kalau buku yang difotostat siapa nak baca? Rasa tak selesa walaupun isinya bagus. Saya teringat waktu belajar dulu fotostat nota, last-last tak baca pun sebab rasa tak menarik untuk dibaca. Kata orang lama yang saya pernah dengar; buku yang tak cantik ni macam orang perempuan yang cerdik tapi tak pandai berdandan.




Khamis, 20 Julai 2017

Dalam Kepala : Dua

 
gambar dari internet
Semasa berjalan atau menebas semak, kepala saya begitu laju berfikir seolah anak kecil yang baru dapat kaki malah sewaktu solat juga begitu. Kadang-kadang fikiran dan imajinasi saya cenderung kepada erotis liar atau sureal seperti menikam tuhan dengan pisau mentega semasa sedang solat. Astafirullahhalazim. Dalam mood menulis ini saya akan banyak termenung melihat dinding yang tergantung bersama poster Strike Gundam.

Apa yang mahu saya tulis? Saya masih tiada idea yang pejal, waktu ini saya sebenarnya selesa menulis cerpen berbanding novel. Novel memerlukan plot yang terancang berbanding cerpen yang hanya boleh saya mulakan dengan satu ayat yang catchy. Saya fikir mahu menulis himpunan cerpen yang apabila di cantumkan secara kolektif membentuk jalan cerita yang berkesinambungan seperti novel. Ia memudahkan saya.

Subject Matter, saya selalu kalah disini apabila memikirkan tentang satu subjek yang perlukan huraian terperinci. Ia memerlukan saya membuat research dan membaca banyak buku. Saya terpikirkan subjek Writer-Reader dalam forma metafiksyen. Saya tahu ia satu subjek yang agak pop, se-pop karya Stereo Genmai tulisan Ridhwan atau lebih berat seperti D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq). Kadang saya teringat pada Barton Fink, Inside Out atau Ruby Spark. Saya lebih suka Confessions of a Dangerous Mind yang lebih gelap dan lucu. 

Kawan saya mengatakan cerpen saya seakan Stereo Genmai, saya agak murung mendengarnya walaupun saya tidak marah. Saya tidak sukakan perbandingan, walaupun kadang-kadang saya melakukanya. Saya rasa semua akan melakukannya dan akan mengaitkan dengan bacaan mereka sebelum ini. Tapi SG bagi saya karya adalah karya pop yang mudah diterima ramai. Cuma kadang-kadang perbandingan buat saya teringat pada sistem kelas di sekolah dulu, dimana wujud perbezaan taraf pandai-bodoh walaupun sama darjah. Saya lebih menyukai sistem di universiti yang hanya wujud senior-junior, junioir wujud sebab masuk lebih lambat bukan disebabkan dia bodoh. Saya lebih suka budaya hasad yang sihat. Seperti saya dengki pada tulisan Syafiq Ghazali atau Hadi M Nor dan mahu menulis sebaik atau lebih baik dari mereka. Ia bagus untuk saya dan untuk circa sastera di Malaysia secara umumnya.

Bercakap tentang subjek Writer-Reader, ia bukanlah subjek yang utama. Ia masih dalam sub-subjek yang akan mengerakkan cerita. Saya terfikir tentang Kelantan dan tradisi-tradisi budaya atau sub-budaya yang masih belum (atau saya tidak jumpa karya lain) di kupas dalam penulisan novel. Seperti contoh Orang Kota Bahru atau Melati Kota Bahru atau karya baru seperti Debu Bidadari oleh Syafiq Ghazali yang membawa hawa Kelantan dalam penulisannya. Ia tidak hanya tempelan geografi seperti sebuah cerita yang berlangsung di Kotah Baru misalnya, tapi ia melibatkan subjek atau objek yang berada dalam bandar itu sendiri. Seperti Syafiq memasukan budaya gedebe atau suka lepak di tepi pagar airport Pengkalan Chepa adalah tonjolan sub-budaya yang baik. Ia sebuah karya yang mewakili massa, saya kira.

Jadi subjek apa yang saya akan pilih untuk novel saya?

Wayang Kulit mungkin. Bukan tonjolan secara literal kerana saya tiada pengalaman menonton secara langsung tradisi ini walaupun saya membesar disini. Ia melibatkan banyak faktor pastinya kenapa saya tidak menontonnya. Tapi secara falsafahnya, ia adalah boneka klasik yang boleh saya kaitkan dengan kemodenan dewasa ini. Ah terlalu formal pula ayat ini. 

Kawan saya mencadangkan saya menyelongkar genre magis-realis memandangkan Kelantan mempunyai mistiknya yang tersendiri. Ia menarik, kadang saya tidak dapat bezakan magis-realis dengan surealis gaya Kafka on the Shore. Saya tidak mahu terperangkap dalam genre, ia boleh menyesatkan saya malah menjerut leher saya.

Bandar Pasir Mas - Kota Bahru ialah bandar yang dekat dengan saya, walaupun saya hampir tidak ada alasan untuk pergi ke bandar Pasir Mas -- kerana faktor pasar lama yang dirobohkan mungkin, bandar ini jadi suram. Bandar ini tidaklah sekoboi bandar Tumpat tapi tanpa pasar segalanya seolah berubah. Pasar telah dipindahkan di bandar baru Pasir Mas, saya tak suka pasar bahru. Saya percaya pada layout pasar bahru yang terbuka dan efisyen cuma arkitek lupa yang pasar lama adalah nadi kepada bandar lama, ia bukan sekadar layout bangunan tapi lokasi pasar lama yang berada ditengah bandar adalah jantung yang akan mendenyutkan nadi seluruh bandar. 

Kota Bahru pula agak plastik dalam rupagaya arsitekturnya dengan propaganda bandaraya Islam. Ia menyakitkan hati melihat kubah yang bersepahan. Tapi dari segi layout bandar, Kota Bahru adalah yang terbaik, kedudukan pasar ditengah-tengah serta akses masjid hanya ditepi jalan memberi jalinan yang baik untuk pengguna bandar walaupun masih tidak mesra pejalan kaki.

Saya tidak pasti kenapa saya melompat jauh menceritakan tentang dua bandar ini, tapi saya anggap ini adalah brainstorming penulisan saya dalam mencari perkaitan dengan subjek matter. Saya tahu ia masih longgar dan tidak nampak jalan novel saya kearah mana tapi saya mencatat ini dalam buku nota saya;

geografi-budaya & subbudaya-arsitektur-tradisi-mistik-nik aziz -makanan-politik.





Dalam kepala : Satu



Saya harap ini bukalah tulisan tentang rugutan kecewa pada sistem atau minta perhatian. Atau paling senang anggap sajalah blog atau tulisan ini tidak wujud. Semuanya sedang bermain dalam kepala saya. Jika anda membaca ini bermakna anda sedang masuk dalam kepala saya. Betapa besar kepala saya hingga anda boleh masuk? Ah janganlah terlalu literal. Saya penat melayan soalan tanpa suara yang selalu bermain dalam kepala saya. Jangan bimbang kepala saya bukanlah labirin yang akan buat anda tersesat. Kepala saya hanyalah sebuah kamar kecil yang terisi buku-buku tersusun dan sebuah komputer peribadi.

Saya anggap saya sedang kemurungan kini. Keinginan besar saya ingin menjadi penulis saya simpan sejak saya dipuji cikgu Roslan kerana karangan fiksyen yang saya tulis semasa semasa darjah 5. Kreatif kata cikgu. Saya fikir kata-kata itu langsung tak berguna untuk saya kini. Saya sudah lama mengharamkan diri saya mengingati atau bernostalgia tentang zaman kecil saya. Ia sudah lama menjadi fiksyen yang telah diterbangkan ke langit. Saya tidak mampu mengapainya lagi. Seperti saya yang agak segan berbual dengan teman sekolah rendah yang sudah lama tidak jumpa. Saya tidak jumpa titik temu untuk berbual apa. Ia menakutkan saya. Seolah saya adalah Asabul-Kahfi yang terjaga di masa depan dan melihat semuanya asing.

Menulis, sehingga sekarang niat menulis novel hanya tinggal niat. Saya terlalu terburu-buru? Mungkin. Saya hanya mahu cuba dan sahut cabaran sebuah rumah penerbitan yang sedang mencari manuskrip novel untuk diterbitkan. Wang royalti yang dijanjikan sejujurnya menjadi keghairahan saya. Tambahan saya sedang menganggur sepenuh masa.

Tekanan, ya terutama moral. Mahu saja saya persetankan tekanan moral dalam masyarakat. Ya saya akan katakan, saya boleh memilih moral saya sendiri. Saya lelaki genius yang tidak didoktrin oleh mana-mana fahaman, Tapi tak, ia mustahil, setiap hati saya harus menghadap ibu dan ayah saya memandangkan saya masih tinggal di rumah mereka. Ibubapa mana yang tahan melihat anak lelakinya tidak bekerja tambahan menyimpan cita untuk menjadi penulis. Satu profesi yang hampir mitos di zaman kini. Soal kahwin, pekerjaan atau punya anak di usia muda serta soal masa depan pasti menjadi peluru yang menyerang saya. Paling tidak mereka tidak bertanya soalan yang sama tapi wajah mereka yang risau melihat saya buat tekanan moral ini menyiksa saya.

Eskapisma saya adalah buku. Fiksyen spesifiknya. Tapi seolah semesta sedang mengutuk saya dengan mentakdirkan saya membaca tulisan Roslan Jomel. Ah, kenapa hidup saya perlu berhadapan dengan seketul Roslan Jomel? Tulisannya dalam Namaku Epalku Kuning buat hidup saya bertambah murung. Terutama membaca Cerita tentang penulis cerita. Ia sebuah kutukan kepada diri saya. Akhir-akhir ini saya selalu dihidangkan dengan fiksyen-fiksyen yang berhawa pesimistik penulis. Walaupun saya sudah mengharamkan Murakami dalam hidup saya, fiksyen D.U.B.L.I.N dan Boneka Rusia Guido tulisan Wan Nor Azriq masih menganggu saya. Ianya  seolah sebuah kebenaran yang saya mesti/perlu nafikan. Kenapa penulis harus begini? Terasing dalam dunia sendiri seolah dibuang masyarakat, di koyak-koyak sepi lantas hidup hanya bersama monolog tak bersuara dan papan kekunci? Kenapa penulis harus sebegitu nihilistik?








Khamis, 13 Julai 2017

dalam kepala

Hujan turun lebat 
di dalam kepalanya. 
Idea mengigil kebasahan
Dakwat hitam mencair
air mengalir laju
coklat dan kotor
kepalanya kelemasan
dia tidak bernafas
(lagi)

hujan reda

air mula surut
ideanya hancur
fikirannya kuyup
kepalanya pucat

dia tersedar
bangun dan kutip
cebisan idea
yang hancur
pada tanah gersang

dia dongak 
mentari muncul 
malu-malu







Rabu, 5 April 2017

menziarahi pusara

Sekali sekala saya melawat pusara facebook awak. Ia berdebu dan mengaburkan gambar profil awak bergambar didepan cermin tandas bersama iphone 5 berwarna emas. Saya sapu dengan hujung lengan baju saya. Pohon-pohon kecil dan rerumput yang mula tumbuh dicelah-celah friendlist dan gambar-gambar awak saya cabut dengan cermat. Selepas saya cucur air di atas post-post status yang pernah awak kongsi, saya sedekahkan al-fatihah pada wall-facebook awak. Sebelum saya berundur sempat saya tabur emotikon berupa bunga-bunga kembang kuning dan merah di atas kulit foto terakhir awak - Calvin and Hobbes sedang memandang bintang di langit.

Saya kembali ke halaman utama, berjumpa kawan-kawan Facebook yang masih hidup.







Selasa, 28 Februari 2017

Muffin dan zine potostat

Aku menikmati zine potostatmu seperti menikmati sebentuk muffin yang buruk bentuknya tapi sedap rasanya. Tapi aku hanya membelek zine potostatmu dalam keaadaan paling malas. Kopi panas buatan ibu aku hirup sedikit. Aku cuba membaca zine potostatmu sekali lagi. Aku gagal. Aku cicah zine potostatmu kedalam kopi panas buatan ibu dan kunyah perlahan-lahan.

Sedap!.




Serigala dalam kepala




Darah menitik ke lantai. Aku dapat lihat satu persatu gugur dari hidungku. Belum sempat aku bangun, serigala itu menerkam lagi. Badan aku dan badannya bergulingan diatas lantai. Dia menindih aku. Aku hanya mampu menutup mukaku dengan lengan agar tidak dicakar di muka lagi. Satu cakaran pada dada. Dada aku koyak bersama baju Pink Floyd hitam aku. Meraung aku kesakitan. Aku menumbuk serigala yang ada kacukan husky itu. Terpelanting. Aku bangun. Kawasan gudang terbiar itu hanya ada aku dan serigala itu. Aku ambil sebatang besi. Satu renungan tajam dari Serigala membuatkan aku menelan air liur gugup. Serigala itu makin membesar. Aku dapat nampak perubahan badannya. Matanya merah bak lada. Sekali lagi aku menelan air liur. Tapi dia apa yang boleh aku buat selain melawan. Apa yang kau mahu?!. Serigala itu sudah bersiaga untuk menyerangku. Mungkin aku akan menjadi lauknya malam ini.

...

Malam itu sangat sayu. Dinding gudang terbiar penuh dengan darahku. Baju Pink Floyd habis koyak. Aku terbaring lunyai. Darah disana sini. Apakah ini penamatku?.

...

Status Facebook:

Seolah sebuah perhitungan yang tidak selesai. Tidak tahu saatnya apatah lagi persoalan bagaimana  perhitungan ini akan dilaksanakan. Ia menyeksakan, terutama di bahagian otak yang sedang memikirkan dan melawan ketakutan-ketakutan perasaan kau.
Ia tidak semudah dengan seperti meniup debu di celahan tingkap. Malah jauh lebih sukar dari kamu menahan kesakitan gigi yang rosak.

Kadang merasa seperti ada serigala liar yang buat merontok rontok dalam kepala kau. Disuruh keluar tidak mahu. Diajak bincang mendengus defensif. Dijinakkan, tunduk tapi meronta kembali.

Kadang diratahnya perasaan kau.

Kau mengeluh payah. Berkali kali.

Kau kepenatan. Badan kau sudah lemah minta beradu tapi fikiran kau masih berlarian laju. Berkejaran dan minta kau berkejaran bersama.


Ah, kau mengeluh lagi.

internet

Selasa, 7 Februari 2017

Everest, hal-hal momen dan ego

Musik latar Articulate silences - Star of the Lid memenuhi ruang kamar

Malam ini aku membunuh masa dengan menonton Everest. Filem adaptasi dari kisah  benar tentang pendakian gunung yang tingginya 8850 meter; Gunung Everest. Lihat kawan, ini bukan rebiu filem kisah pendakian itu yang akan aku kupas melainkan mengingat diriku tentang egoku sendiri. Manusia terbentuk dari egonya. Begitulah aku. Ego yang mengekori diri.

Aku bukanlah pendaki tegar yang menawan banyak gunung yang tinggi. Aku tidak tahu apa-apa tentang gunung. Hanya pernah menawan beberapa gunung dan bukit di sekitar semenanjung setakat tulisan ini dicoret. Cuma aku punya keegoaan iaitu aku tidak berapa gemar ialah mendaki dalam kuantiti pendaki yang ramai dalam satu trip. Aku suka berdua atau dalam kelompok yang kecil. Itu yang aku suka lalukan dibeberapa pendakianku. Aku tidak gemar pendakian yang perlahan seperti mana pendakian dalam kelompok yang ramai. kelompok yang ramai membuat rentak pendakian menjadi perlahan dan tidak lancar akibat terpaksa menunggun klik yang berjalan perlahan atau berehat dan terpaksa que yang panjang.

Paling akhir aku mendaki ialah Gunung Pulai yang lokasinya terletak di Baling. ialah pada kurang lebih dua minggu lepas. Dan malam ini aku menonton Everest. Aku boleh katakan semuanya bukan tentang siapa yang mendaki paling pantas ke puncak atau pemandangan cantik yang selalu menjadi motivasi pada pendaki terus untuk sampai ke atas. Kalau kamu mahu tahu hal yang yang sebenar, segalanya tentang momen, kawan. 

Momen.

Seperti mana kamu menonton Everest, momen perbualan, gelak ketawa, menari dikala malam, perbualan intim, momen cemas malah momen kematian yang memeluk dipentaskan dalam satu citra pendakian. Ya , pastinya gunung Pulai dan Everest bukan perbandingan yang cocok. Tapi aku kira momen itu dapat dirasa bagi mereka yang pernah mendaki gunung. Ada keintiman dari cerita ini.

Kala perbualan saat mendaki, berkongsi air atau roti gardenia, gelak tawa, kepenatan, menghembus adrenalin, atau kaki bergetar akibat menahan beban diri yang makin penat. "Ada orang miscall tu, saie". Inside joke Aqih yang hanya kami saja faham bila melihat kaki aku mula bergetar dengan sendiri. Berderai tawa antara kami.

Gunung adalah ciptaan Tuhan yang tidak dicipta dengan sia-sia. Seperti yang aku katakan diawal; Manusia terbentuk dari egonya. Dan gunung adalah tempat kamu meninggalkan egomu. Egomu yang dibina dari pencapaian gred di sekolahmu, taraf pendidikanmu, jawatanmu atau apa-apa perlumbaan status yang kamu ada dialam realiti. Kamu harus tinggalkan di kaki gunung. Kerana satu hal yang aku percaya ialah gunung tidak peduli pada egomu. Bila kamu mendaki, kamu sudah tiada apa-apa melainkan semangat jiwamu, kawan. 

Belajarlah dari Scott Fischer dan kompetitornya Rob Hall, walaupun pada awalnya mereka bersetuju bergabung grup untuk mempercepatkan pendakian tapi apabila di puncak, Rob diperli Scott kerana grupnya tidak semuanya sampai ke puncak.

“we don’t need competition between people, this competition between every person and this mountain, the last word always belong to the mountain”-Anatoli


Lagu bertukar trak. Nothing it can - Helios. Memenuhi latar fikiranku.





Foto kredit Faqih Iqbal