Di luar jendela: Bunyian irama sisa hujan menghempas longkang serta dedaun. Speaker komputer: Suara Potishead sayup-sayup kedengaran. Lelangit bilik: Kipas yang belom dicuci bilahnya menawarkan bunyi angin. Aku ada diantaranya. Katil: Meringkuk sekujur badan manusia. Aku? aku tidak tahu. Comforter: Aku cuba mengingati bila kali terakhir aku membasuhnya. Ia tidak terlalu busuk, masih menyenangkan. Tubuh: Kerja seminggu buat jumaat adalah hari yang penat untuk berbuat apa-apa. Kemas bilik? basuh motor? Habiskan Metamorfosis dan novel Milan Kundera? Lepak dengan kawan? Itu hanya angan-angan waktu sedang bekerja. Ia masih melekat difikiran tanpa sebarang aksi. Katil ini telah merampas semuanya. Ahh, aku hanya ingin berbaring tanpa rasa. Fikiran: Rusuh? Sepi? Bingung? Tidak tahu aku berada di antara apa. Musik: trek lagu bertukar, Numb ambil tempat. Suara Beth Gibbson dalam lagu ini menjengkelkan. Ia terlalu dibuat-buat. Pintu: Ibu mengetuk bertanyakan sudah solat belum? Ada laksa di dapur. Aku hanya jawab ya beberapa kali. Apalah kehidupan kalau tidak berbohong kepada ibu? Puisi: didalam kepala ada beberapa rangkap yang kususun. Tentang? Bunyi hujan? Lagu Potishead? Bunyi kipas atau comforter yang berbau? Lama-lama aksara yang ku susun susut hilang, cuba ingat, ia terlalu penat untuk mengingati semula. Aku dapat lihat aksara-aksara itu terhapus bak asap rokok yang bersatu dengan udara. Kaki: Aku seperti merasakan sesuatu, aku alih comforter, aku tidak nampak kaki kananku. Aku ingin bangun, rupanya badanku sudah tiada. Kakiku sikit-sikit makin hilang. Cebis-cebisnya terbang seperti gumpalan asap lalu hilang. Tangan: cuba merapa wajah. Tak, ini bantal. Bukan wajahku. Di mana kepalaku? Musik: Intro Silence masih aku dapat cam. Bunyi kipas juga masih dapat aku dengar, kecuali jasadku yang telah hilang. Apakah aku sudah bersatu dengan udara? Berada di antara semua bunyi tadi?