Isnin, 31 Julai 2017

De-zine

Diaman kata teman saya bukan hanya milik manusia sahaja. Kotak mancis adalah diaman buat mancis, dahan pokok rambutan boleh jadi diaman buat ayam tidur atau mungkin rebannya atau burung walid dengan penghuni diaman ruang gelap. Pokoknya semua punya diaman masing-masing.

Kertas adalah ruang kediaman buat aksara-aksara berkumpul lalu mmebikin lembar-lembar kertas bernama buku. Dalam hal membikin zine adalah seperti saya desain sebuah rumah. Tiada apa yang paling utama dalam dezain rumah adala soal ruang (pokoknya tidak kisah dezain bagunan jenis apa pun, Rumah adalah analogi yang suka saya guna). Pada saya estetika rupagaya bangunan jatuh pada nombor dua kerana yang paling utama adalah esensi ruang. Ruang yang selesa itu akan buat penghuninya selesa di dalamnya. 

Saya adalah pembikin zine (dalam kata lain-arkitek zine). Klien saya adalah manusia - pembaca. Kertas adalah ruang manakala jenis kertas adalah material. Ruang kertas; bila bercakap soal ruang ia berkait dengan size setiap helaian. Zine adalah produksi mandiri - DIY dimana semuanya perlu saya bikin sendiri- dari hal kertas hingga pencetakkan. Keluasan ruang (size kertas) bergantung pada wadah apa yang cuba dibikin- kalau Zine Foto mungkin akan mengunakan size A4, Kalau zine jenis majalah kebiasaanya guna A4 yang dilipat dua menjadi A5, Namun ia masih tidak terikat dalam size yang dah di standardkan, bergantung pada kreativiti dan keselesaan. 

Zine dalam sejarahnya ialah produksi DIY yang mengandungi tulisan/risalah atau foto yang dicetak secara fotokopi. Dari segi kualiti ia tidak dititikberatkan sangat kerana yang penting isi kontent di dalamnya. Namun bagi saya produksin zine haruslah bergerak kedepan. Saya percaya kepada kualiti. Kualiti ini seperti dezain cucur atap yang lebar yang mampu menghalang tempias air hujan / panas matahari terus kepada sebuah ruang untuk keselesaan mendudukinya. Nyaman semestinya. Dezain sebuah ruang juga bergantung pada material yang digunakannya (seperti dinding atau jubin). 

Seperti itu jugalah dalam penghasilan zine. Pemilihan size kertas dan material penting. Sebagai contoh saya menghasilkan zine cerpen. Jumlah perkataan yang banyak buat saya perlu ambil kira susunan aksara dalam satu halaman. Contohnya dalam satu baris ayat berapa perkataan yang perlu disusun? Jika dalam satu baris terlau panjang boleh buat pembaca penat mengerakkan mata dari kiri ke kanan. Malah dalam satu halaman berapa banyak baris yang perlu disusun? Terlalu banyak baris buat pembaca rasa sesebuah teks itu terlalu panjang. Spacing antara teks dan saiz font harus diambil kira. Material; kertas apa yang dipakai atau warna kertas? Kalau perasan, warna kertas A4 yang terdapat dipasaran (yellowpage atau Double A) punya brightness yang boleh buat kita cepat sakit mata akibat silau. Berbanding kertas kekuningan  atau kertas putih yang mengandungi peratus brightness yang kurang seperti kertas novel akan beri keselesaan pada mata pembaca. Binding itu seperti dekorasi dalam sesebuah ruang, Ia bergantung pada anda! Mau  binding secara jahit atau konversional stapler atau pakai pengepit. Bestnya bikin zine ni ia fleksibel dan ikut kreativiti masing-masing.

Sekarang bukan hanya tentang konten dalam sesebuah zine. Saya teringat abang saya cakap, kalau buku yang difotostat siapa nak baca? Rasa tak selesa walaupun isinya bagus. Saya teringat waktu belajar dulu fotostat nota, last-last tak baca pun sebab rasa tak menarik untuk dibaca. Kata orang lama yang saya pernah dengar; buku yang tak cantik ni macam orang perempuan yang cerdik tapi tak pandai berdandan.




Khamis, 20 Julai 2017

Dalam Kepala : Dua

 
gambar dari internet
Semasa berjalan atau menebas semak, kepala saya begitu laju berfikir seolah anak kecil yang baru dapat kaki malah sewaktu solat juga begitu. Kadang-kadang fikiran dan imajinasi saya cenderung kepada erotis liar atau sureal seperti menikam tuhan dengan pisau mentega semasa sedang solat. Astafirullahhalazim. Dalam mood menulis ini saya akan banyak termenung melihat dinding yang tergantung bersama poster Strike Gundam.

Apa yang mahu saya tulis? Saya masih tiada idea yang pejal, waktu ini saya sebenarnya selesa menulis cerpen berbanding novel. Novel memerlukan plot yang terancang berbanding cerpen yang hanya boleh saya mulakan dengan satu ayat yang catchy. Saya fikir mahu menulis himpunan cerpen yang apabila di cantumkan secara kolektif membentuk jalan cerita yang berkesinambungan seperti novel. Ia memudahkan saya.

Subject Matter, saya selalu kalah disini apabila memikirkan tentang satu subjek yang perlukan huraian terperinci. Ia memerlukan saya membuat research dan membaca banyak buku. Saya terpikirkan subjek Writer-Reader dalam forma metafiksyen. Saya tahu ia satu subjek yang agak pop, se-pop karya Stereo Genmai tulisan Ridhwan atau lebih berat seperti D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq). Kadang saya teringat pada Barton Fink, Inside Out atau Ruby Spark. Saya lebih suka Confessions of a Dangerous Mind yang lebih gelap dan lucu. 

Kawan saya mengatakan cerpen saya seakan Stereo Genmai, saya agak murung mendengarnya walaupun saya tidak marah. Saya tidak sukakan perbandingan, walaupun kadang-kadang saya melakukanya. Saya rasa semua akan melakukannya dan akan mengaitkan dengan bacaan mereka sebelum ini. Tapi SG bagi saya karya adalah karya pop yang mudah diterima ramai. Cuma kadang-kadang perbandingan buat saya teringat pada sistem kelas di sekolah dulu, dimana wujud perbezaan taraf pandai-bodoh walaupun sama darjah. Saya lebih menyukai sistem di universiti yang hanya wujud senior-junior, junioir wujud sebab masuk lebih lambat bukan disebabkan dia bodoh. Saya lebih suka budaya hasad yang sihat. Seperti saya dengki pada tulisan Syafiq Ghazali atau Hadi M Nor dan mahu menulis sebaik atau lebih baik dari mereka. Ia bagus untuk saya dan untuk circa sastera di Malaysia secara umumnya.

Bercakap tentang subjek Writer-Reader, ia bukanlah subjek yang utama. Ia masih dalam sub-subjek yang akan mengerakkan cerita. Saya terfikir tentang Kelantan dan tradisi-tradisi budaya atau sub-budaya yang masih belum (atau saya tidak jumpa karya lain) di kupas dalam penulisan novel. Seperti contoh Orang Kota Bahru atau Melati Kota Bahru atau karya baru seperti Debu Bidadari oleh Syafiq Ghazali yang membawa hawa Kelantan dalam penulisannya. Ia tidak hanya tempelan geografi seperti sebuah cerita yang berlangsung di Kotah Baru misalnya, tapi ia melibatkan subjek atau objek yang berada dalam bandar itu sendiri. Seperti Syafiq memasukan budaya gedebe atau suka lepak di tepi pagar airport Pengkalan Chepa adalah tonjolan sub-budaya yang baik. Ia sebuah karya yang mewakili massa, saya kira.

Jadi subjek apa yang saya akan pilih untuk novel saya?

Wayang Kulit mungkin. Bukan tonjolan secara literal kerana saya tiada pengalaman menonton secara langsung tradisi ini walaupun saya membesar disini. Ia melibatkan banyak faktor pastinya kenapa saya tidak menontonnya. Tapi secara falsafahnya, ia adalah boneka klasik yang boleh saya kaitkan dengan kemodenan dewasa ini. Ah terlalu formal pula ayat ini. 

Kawan saya mencadangkan saya menyelongkar genre magis-realis memandangkan Kelantan mempunyai mistiknya yang tersendiri. Ia menarik, kadang saya tidak dapat bezakan magis-realis dengan surealis gaya Kafka on the Shore. Saya tidak mahu terperangkap dalam genre, ia boleh menyesatkan saya malah menjerut leher saya.

Bandar Pasir Mas - Kota Bahru ialah bandar yang dekat dengan saya, walaupun saya hampir tidak ada alasan untuk pergi ke bandar Pasir Mas -- kerana faktor pasar lama yang dirobohkan mungkin, bandar ini jadi suram. Bandar ini tidaklah sekoboi bandar Tumpat tapi tanpa pasar segalanya seolah berubah. Pasar telah dipindahkan di bandar baru Pasir Mas, saya tak suka pasar bahru. Saya percaya pada layout pasar bahru yang terbuka dan efisyen cuma arkitek lupa yang pasar lama adalah nadi kepada bandar lama, ia bukan sekadar layout bangunan tapi lokasi pasar lama yang berada ditengah bandar adalah jantung yang akan mendenyutkan nadi seluruh bandar. 

Kota Bahru pula agak plastik dalam rupagaya arsitekturnya dengan propaganda bandaraya Islam. Ia menyakitkan hati melihat kubah yang bersepahan. Tapi dari segi layout bandar, Kota Bahru adalah yang terbaik, kedudukan pasar ditengah-tengah serta akses masjid hanya ditepi jalan memberi jalinan yang baik untuk pengguna bandar walaupun masih tidak mesra pejalan kaki.

Saya tidak pasti kenapa saya melompat jauh menceritakan tentang dua bandar ini, tapi saya anggap ini adalah brainstorming penulisan saya dalam mencari perkaitan dengan subjek matter. Saya tahu ia masih longgar dan tidak nampak jalan novel saya kearah mana tapi saya mencatat ini dalam buku nota saya;

geografi-budaya & subbudaya-arsitektur-tradisi-mistik-nik aziz -makanan-politik.





Dalam kepala : Satu



Saya harap ini bukalah tulisan tentang rugutan kecewa pada sistem atau minta perhatian. Atau paling senang anggap sajalah blog atau tulisan ini tidak wujud. Semuanya sedang bermain dalam kepala saya. Jika anda membaca ini bermakna anda sedang masuk dalam kepala saya. Betapa besar kepala saya hingga anda boleh masuk? Ah janganlah terlalu literal. Saya penat melayan soalan tanpa suara yang selalu bermain dalam kepala saya. Jangan bimbang kepala saya bukanlah labirin yang akan buat anda tersesat. Kepala saya hanyalah sebuah kamar kecil yang terisi buku-buku tersusun dan sebuah komputer peribadi.

Saya anggap saya sedang kemurungan kini. Keinginan besar saya ingin menjadi penulis saya simpan sejak saya dipuji cikgu Roslan kerana karangan fiksyen yang saya tulis semasa semasa darjah 5. Kreatif kata cikgu. Saya fikir kata-kata itu langsung tak berguna untuk saya kini. Saya sudah lama mengharamkan diri saya mengingati atau bernostalgia tentang zaman kecil saya. Ia sudah lama menjadi fiksyen yang telah diterbangkan ke langit. Saya tidak mampu mengapainya lagi. Seperti saya yang agak segan berbual dengan teman sekolah rendah yang sudah lama tidak jumpa. Saya tidak jumpa titik temu untuk berbual apa. Ia menakutkan saya. Seolah saya adalah Asabul-Kahfi yang terjaga di masa depan dan melihat semuanya asing.

Menulis, sehingga sekarang niat menulis novel hanya tinggal niat. Saya terlalu terburu-buru? Mungkin. Saya hanya mahu cuba dan sahut cabaran sebuah rumah penerbitan yang sedang mencari manuskrip novel untuk diterbitkan. Wang royalti yang dijanjikan sejujurnya menjadi keghairahan saya. Tambahan saya sedang menganggur sepenuh masa.

Tekanan, ya terutama moral. Mahu saja saya persetankan tekanan moral dalam masyarakat. Ya saya akan katakan, saya boleh memilih moral saya sendiri. Saya lelaki genius yang tidak didoktrin oleh mana-mana fahaman, Tapi tak, ia mustahil, setiap hati saya harus menghadap ibu dan ayah saya memandangkan saya masih tinggal di rumah mereka. Ibubapa mana yang tahan melihat anak lelakinya tidak bekerja tambahan menyimpan cita untuk menjadi penulis. Satu profesi yang hampir mitos di zaman kini. Soal kahwin, pekerjaan atau punya anak di usia muda serta soal masa depan pasti menjadi peluru yang menyerang saya. Paling tidak mereka tidak bertanya soalan yang sama tapi wajah mereka yang risau melihat saya buat tekanan moral ini menyiksa saya.

Eskapisma saya adalah buku. Fiksyen spesifiknya. Tapi seolah semesta sedang mengutuk saya dengan mentakdirkan saya membaca tulisan Roslan Jomel. Ah, kenapa hidup saya perlu berhadapan dengan seketul Roslan Jomel? Tulisannya dalam Namaku Epalku Kuning buat hidup saya bertambah murung. Terutama membaca Cerita tentang penulis cerita. Ia sebuah kutukan kepada diri saya. Akhir-akhir ini saya selalu dihidangkan dengan fiksyen-fiksyen yang berhawa pesimistik penulis. Walaupun saya sudah mengharamkan Murakami dalam hidup saya, fiksyen D.U.B.L.I.N dan Boneka Rusia Guido tulisan Wan Nor Azriq masih menganggu saya. Ianya  seolah sebuah kebenaran yang saya mesti/perlu nafikan. Kenapa penulis harus begini? Terasing dalam dunia sendiri seolah dibuang masyarakat, di koyak-koyak sepi lantas hidup hanya bersama monolog tak bersuara dan papan kekunci? Kenapa penulis harus sebegitu nihilistik?








Khamis, 13 Julai 2017

dalam kepala

Hujan turun lebat 
di dalam kepalanya. 
Idea mengigil kebasahan
Dakwat hitam mencair
air mengalir laju
coklat dan kotor
kepalanya kelemasan
dia tidak bernafas
(lagi)

hujan reda

air mula surut
ideanya hancur
fikirannya kuyup
kepalanya pucat

dia tersedar
bangun dan kutip
cebisan idea
yang hancur
pada tanah gersang

dia dongak 
mentari muncul 
malu-malu