Khamis, 20 Julai 2017
Dalam kepala : Satu
Saya harap ini bukalah tulisan tentang rugutan kecewa pada sistem atau minta perhatian. Atau paling senang anggap sajalah blog atau tulisan ini tidak wujud. Semuanya sedang bermain dalam kepala saya. Jika anda membaca ini bermakna anda sedang masuk dalam kepala saya. Betapa besar kepala saya hingga anda boleh masuk? Ah janganlah terlalu literal. Saya penat melayan soalan tanpa suara yang selalu bermain dalam kepala saya. Jangan bimbang kepala saya bukanlah labirin yang akan buat anda tersesat. Kepala saya hanyalah sebuah kamar kecil yang terisi buku-buku tersusun dan sebuah komputer peribadi.
Saya anggap saya sedang kemurungan kini. Keinginan besar saya ingin menjadi penulis saya simpan sejak saya dipuji cikgu Roslan kerana karangan fiksyen yang saya tulis semasa semasa darjah 5. Kreatif kata cikgu. Saya fikir kata-kata itu langsung tak berguna untuk saya kini. Saya sudah lama mengharamkan diri saya mengingati atau bernostalgia tentang zaman kecil saya. Ia sudah lama menjadi fiksyen yang telah diterbangkan ke langit. Saya tidak mampu mengapainya lagi. Seperti saya yang agak segan berbual dengan teman sekolah rendah yang sudah lama tidak jumpa. Saya tidak jumpa titik temu untuk berbual apa. Ia menakutkan saya. Seolah saya adalah Asabul-Kahfi yang terjaga di masa depan dan melihat semuanya asing.
Menulis, sehingga sekarang niat menulis novel hanya tinggal niat. Saya terlalu terburu-buru? Mungkin. Saya hanya mahu cuba dan sahut cabaran sebuah rumah penerbitan yang sedang mencari manuskrip novel untuk diterbitkan. Wang royalti yang dijanjikan sejujurnya menjadi keghairahan saya. Tambahan saya sedang menganggur sepenuh masa.
Tekanan, ya terutama moral. Mahu saja saya persetankan tekanan moral dalam masyarakat. Ya saya akan katakan, saya boleh memilih moral saya sendiri. Saya lelaki genius yang tidak didoktrin oleh mana-mana fahaman, Tapi tak, ia mustahil, setiap hati saya harus menghadap ibu dan ayah saya memandangkan saya masih tinggal di rumah mereka. Ibubapa mana yang tahan melihat anak lelakinya tidak bekerja tambahan menyimpan cita untuk menjadi penulis. Satu profesi yang hampir mitos di zaman kini. Soal kahwin, pekerjaan atau punya anak di usia muda serta soal masa depan pasti menjadi peluru yang menyerang saya. Paling tidak mereka tidak bertanya soalan yang sama tapi wajah mereka yang risau melihat saya buat tekanan moral ini menyiksa saya.
Eskapisma saya adalah buku. Fiksyen spesifiknya. Tapi seolah semesta sedang mengutuk saya dengan mentakdirkan saya membaca tulisan Roslan Jomel. Ah, kenapa hidup saya perlu berhadapan dengan seketul Roslan Jomel? Tulisannya dalam Namaku Epalku Kuning buat hidup saya bertambah murung. Terutama membaca Cerita tentang penulis cerita. Ia sebuah kutukan kepada diri saya. Akhir-akhir ini saya selalu dihidangkan dengan fiksyen-fiksyen yang berhawa pesimistik penulis. Walaupun saya sudah mengharamkan Murakami dalam hidup saya, fiksyen D.U.B.L.I.N dan Boneka Rusia Guido tulisan Wan Nor Azriq masih menganggu saya. Ianya seolah sebuah kebenaran yang saya mesti/perlu nafikan. Kenapa penulis harus begini? Terasing dalam dunia sendiri seolah dibuang masyarakat, di koyak-koyak sepi lantas hidup hanya bersama monolog tak bersuara dan papan kekunci? Kenapa penulis harus sebegitu nihilistik?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan