Semasa berjalan atau menebas semak, kepala saya begitu laju
berfikir seolah anak kecil yang baru dapat kaki malah sewaktu solat juga
begitu. Kadang-kadang fikiran dan imajinasi saya cenderung kepada erotis liar
atau sureal seperti menikam tuhan dengan pisau mentega semasa sedang solat.
Astafirullahhalazim. Dalam mood menulis ini saya akan banyak termenung melihat
dinding yang tergantung bersama poster Strike Gundam.
Apa yang mahu saya tulis? Saya masih tiada idea yang pejal, waktu
ini saya sebenarnya selesa menulis cerpen berbanding novel. Novel memerlukan
plot yang terancang berbanding cerpen yang hanya boleh saya mulakan dengan satu
ayat yang catchy. Saya fikir mahu menulis himpunan cerpen yang apabila di
cantumkan secara kolektif membentuk jalan cerita yang berkesinambungan seperti
novel. Ia memudahkan saya.
Subject Matter, saya selalu kalah disini apabila memikirkan
tentang satu subjek yang perlukan huraian terperinci. Ia memerlukan saya
membuat research dan membaca banyak buku. Saya terpikirkan subjek Writer-Reader
dalam forma metafiksyen. Saya tahu ia satu subjek yang agak pop, se-pop karya
Stereo Genmai tulisan Ridhwan atau lebih berat seperti D.U.B.L.I.N (Wan Nor
Azriq). Kadang saya teringat pada Barton Fink, Inside Out atau Ruby Spark. Saya
lebih suka Confessions of a Dangerous Mind yang lebih gelap dan lucu.
Kawan saya mengatakan cerpen saya seakan Stereo Genmai, saya agak
murung mendengarnya walaupun saya tidak marah. Saya tidak sukakan perbandingan,
walaupun kadang-kadang saya melakukanya. Saya rasa semua akan
melakukannya dan akan mengaitkan dengan bacaan mereka sebelum ini. Tapi SG bagi
saya karya adalah karya pop yang mudah diterima ramai. Cuma kadang-kadang
perbandingan buat saya teringat pada sistem kelas di sekolah dulu, dimana wujud
perbezaan taraf pandai-bodoh walaupun sama darjah. Saya lebih menyukai sistem
di universiti yang hanya wujud senior-junior, junioir wujud sebab masuk lebih
lambat bukan disebabkan dia bodoh. Saya lebih suka budaya hasad yang sihat.
Seperti saya dengki pada tulisan Syafiq Ghazali atau Hadi M Nor dan mahu
menulis sebaik atau lebih baik dari mereka. Ia bagus untuk saya dan untuk circa
sastera di Malaysia secara umumnya.
Bercakap tentang subjek Writer-Reader, ia bukanlah subjek yang
utama. Ia masih dalam sub-subjek yang akan mengerakkan cerita. Saya terfikir
tentang Kelantan dan tradisi-tradisi budaya atau sub-budaya yang masih belum
(atau saya tidak jumpa karya lain) di kupas dalam penulisan novel. Seperti
contoh Orang Kota Bahru atau Melati Kota Bahru atau karya baru seperti Debu
Bidadari oleh Syafiq Ghazali yang membawa hawa Kelantan dalam penulisannya. Ia
tidak hanya tempelan geografi seperti sebuah cerita yang berlangsung di Kotah
Baru misalnya, tapi ia melibatkan subjek atau objek yang berada dalam bandar
itu sendiri. Seperti Syafiq memasukan budaya gedebe atau suka lepak di tepi
pagar airport Pengkalan Chepa adalah tonjolan sub-budaya yang baik. Ia sebuah
karya yang mewakili massa, saya kira.
Jadi subjek apa yang saya akan pilih untuk novel saya?
Wayang Kulit mungkin. Bukan tonjolan secara literal kerana saya
tiada pengalaman menonton secara langsung tradisi ini walaupun saya membesar
disini. Ia melibatkan banyak faktor pastinya kenapa saya tidak menontonnya.
Tapi secara falsafahnya, ia adalah boneka klasik yang boleh saya kaitkan dengan
kemodenan dewasa ini. Ah terlalu formal pula ayat ini.
Kawan saya mencadangkan saya menyelongkar genre magis-realis
memandangkan Kelantan mempunyai mistiknya yang tersendiri. Ia menarik, kadang
saya tidak dapat bezakan magis-realis dengan surealis gaya Kafka on the Shore.
Saya tidak mahu terperangkap dalam genre, ia boleh menyesatkan saya malah
menjerut leher saya.
Bandar Pasir Mas - Kota Bahru ialah bandar yang dekat dengan saya,
walaupun saya hampir tidak ada alasan untuk pergi ke bandar Pasir Mas -- kerana
faktor pasar lama yang dirobohkan mungkin, bandar ini jadi suram. Bandar ini
tidaklah sekoboi bandar Tumpat tapi tanpa pasar segalanya seolah berubah. Pasar
telah dipindahkan di bandar baru Pasir Mas, saya tak suka pasar bahru. Saya
percaya pada layout pasar bahru yang terbuka dan efisyen cuma arkitek lupa yang
pasar lama adalah nadi kepada bandar lama, ia bukan sekadar layout bangunan
tapi lokasi pasar lama yang berada ditengah bandar adalah jantung yang akan mendenyutkan
nadi seluruh bandar.
Kota Bahru pula agak plastik dalam rupagaya arsitekturnya dengan
propaganda bandaraya Islam. Ia menyakitkan hati melihat kubah yang bersepahan.
Tapi dari segi layout bandar, Kota Bahru adalah yang terbaik, kedudukan pasar ditengah-tengah
serta akses masjid hanya ditepi jalan memberi jalinan yang baik untuk pengguna
bandar walaupun masih tidak mesra pejalan kaki.
Saya tidak pasti kenapa saya melompat jauh menceritakan tentang
dua bandar ini, tapi saya anggap ini adalah brainstorming penulisan saya dalam
mencari perkaitan dengan subjek matter. Saya tahu ia masih longgar dan tidak
nampak jalan novel saya kearah mana tapi saya mencatat ini dalam buku nota
saya;
geografi-budaya &
subbudaya-arsitektur-tradisi-mistik-nik aziz -makanan-politik.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan