Rabu, 3 Ogos 2016

Amoi


Jogging. Apa yang kau harap dari jogging? Mungkin kau fikir untuk menurunkan berat badan kamu setelah kamu kenyang melantak rendang atau nasi dagang atau nasi minyak kenduri kahwin kawan-kawan semasa raya puasa yang lepas.

Ya, jogging ialah sesuatu yang mahal untuk sesetengah orang lakukan setiap hari. Walau untuk satu minggu sekali pun, belum tentu mampu dipenuhi, kan? Mungkin kamu mula berfikir untuk jogging setelah jarum penimbang berat menunjukkan ke angka 65 kg sedangkan berat kamu sebelum ni hanyalah 55 kg atau mungkin rendah lagi dari itu. 

Bukan itu yang ingin disampaikan melainkan kisah Rama. Berat badan bukanlah satu isu bagi Rama, bukan seperti kakak kepada Fida, teman Rama yang begitu paranoid dengan berat badannya. Fida bercerita kakaknya tidak makan nasi beberapa minggu, menangis bertekupkan bantal, tidak keluar rumah, menurun keyakinan diri hanya kerana ada lelaki douchebag mengatakan dia sudah gemuk. Ya bukan satu kisah yang asing, kan? Gemuk bukanlah satu perkara yang menarik sejujur. Kalau dengan perempuan, jangan tegur fizikal dia, it’s so sensitive!, pesan Fida kepada Rama. 

“Ia bukan tentang obsesi atau apa saja bentuk narsissisma untuk kelihatan cantik atau menawan, tapi ia adalah tentang self-esteem. Kita boleh bersyarah mengupas kenapa orang ini tidak yakin dengan diri. Kenapa orang itu malu-malu bercakap di depan khalayak and all kind of stuffs. Tapi siapa peduli tentang apa yang individu tu lalui?. Apa silam dia. Siapa peduli tentang modenisma zaman yang mengobjektifikasikan perempuan? Perempuan cantik macam ni, perempuan hodoh macam ni. Iklan-iklan kecantikan yang bersepahan di radio dan tv.  Cantik itu putih, dahi licin. Hanya pesona! Itu belum cakap lagi tentang diskriminasi pekerja perempuan. Nak dapat kerja front desk je pun tapi kena kena make up cantik, badan kena tiptop. People are stressed, bro!” Tambah Fida. Rama hanya mendengar bebelan gadis dari borneo ini sambil menyedut teh o ais yang sudah bersisa separuh lagi.  

Rama membiarkan saja peluh melalui pipinya. Kadang peluh membasahi bibirnya dan rasa asin saat bibir diketip. Rama menyukainya. Jogging seolah dia sedang berlari meninggalkan masalah-masalah internal ke belakang. Masalah yang berkecamuk. Rama tahu lari dari masalah itu bukan satu penyelesaian. Dia tahu tentang itu. Dia cukup dewasa untuk menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya. Jogging baginya satu ritual untuk menenangkannya. Eskapisme.. Eskapisme disini bermaksud refleksi diri.

Kasut sukan jenama Nike berona kuning hijau terus gagah menapak satu demi satu langkah. Dari perlahan dan meningkat laju dan kemudian kembali perlahan menujah trek jogging yang berfungsi juga sebagai longkang bertutup. 

“Pandang kedepan, Rama. Jangan takut. Semasa berlari, pandang depan. Bila kau pandang depan, view kau luas. Sambil kau lari kau boleh nampak didepan sana ada penutup longkang, kau boleh agak sama ada kau mahu memijak penutup longkang atau melangkahnya. Kau boleh menggagak kaki mana yang ingin kau pijak dulu. Kanan atau kiri. Kau boleh buat semua ini kalau kau berlari sambil pandang kedepan dan bukan menunduk.” Rama bermonolog sendiri.

Angin menyembur lembut. Menari-nari daun pohon sagu yang merendang lebat. Kadang menyejukkan leher Rama yang lencun dengan riak-riak peluh. Bilah-bilah cahaya matahari yang bersedia menuju ke tempat peraduan menembusi celahan daun-daun pohon.

“Manusia nyata punya kesunyian masing-masing. Kesunyian yang membentuk ketakutan. Ketakutan membentuk perang. Perang dalam diri. Perang dengan ketakutan. Bukankan itu perang yang tidak aman?” Soal Rama. 

Ah, perang mana yang aman!? 

Rama terus fokus kedepan. Matanya menyapa satu figura yang sedang berlari. Ya, di depannya ada seorang gadis sedang lari dari arah bertentangannya. Atas trek yang sama. Gadis bertopi sudu berwarna putih. Rambut yang diikat persis ekor kuda berayung-ayung mengikut rentak lariannya. Walaupun bertopi, dia masih mampu melihat wajah gadis itu. Seorang amoi. Dari lariannya dan bentuk badannya boleh diagak gadis ini seorang ahli sukan. Skuasy atau tennis mungkin. Rama terbayangkan Nicol David bila melihat badan gadis ini. 

Trek jogging tidaklah begitu lebar untuk membenarkan pelari berselisihan. Rentak larian mereka berdua mula perlahan.

“Sorry..Your shoelace..” Rama menegur sambil mata dan jarinya menunding kearah kasut amoi itu. 

Amoi itu terus berhenti dan melihat kondisi kasutnya. Tali kasutnya masih terikat kemas. 

“I just kidding..sorry..hehe.” Rama tersingih. Niatnya cuma mahu mulakan perbualan.

“ haha. Nice one!. You always did this trick? To get the girl?” Balas Amoi itu. Mengah berlari dapat dikesan walaupun tidak begitu kelihatan.

“First time. Haha.” 
“ You selalu lari sini?”
“Yeah” 
“Kenapa tak pernah nampak you sebelum ni?” bunyi pelat cina jelas kedengaran.
“Mungkin you lari sambil pejam mata?”
Gelak amoi itu mendengar seloroh Rama. Giginya yang putih tapi sedikit mancung jelas kelihatan. 

“By the way, I’m Rama.” Rama menghulur tangan. 

Tapi suasana sepi. Tangan yang dihulur Rama terus bergantung. Amoi tadi sudah tiada didepannya. Ditoleh kebelakang. Amoi sudah membelakangi dia. Terus berlari.

“Shit! Apa yang aku buat tadi?!” Getus Rama. 


Isnin, 1 Ogos 2016

Kucing

Sesudah jogging, dia berjalan menuju ke bilik asramanya. Dalam perjalanannya, dalam jarak dua meter didepannya, ada seekor kucing duduk bersidai di atas trek jogging. Kelihatan cantik bulunya. Bulunya bercampuran antara warna oren kemerah merahan, putih dan kelabu yang bertompok pelbagai tona cerah dan gelap. Seimbang kombinasi warna dengan tubuhnya. Dia mengagak kucing itu betina dan masih muda. Berdasarkan cara dia berbaring dan mengusap bulunya. Yang jelas, perutnya kembung bunting. Ya, kadang dia sendiri terpikir, ah, apa hidup si kucing ini begitu indah jika kerjanya asyik main saja? Asyik manta saja? Apalah dalam kepala si kucing ini. Dia menuju ke arah kucing itu. Kucing yang tak tahu keberapa kali bunting itu hanya melihat dia menuju kearahnya.

Diseberang jalan sana, ada kurang lebih ada enam ke tujuh orang gadis yang sedang menanti bas universiti. Tujuh orang dia memastikan. Melihat pakaian yg dipakai, kesemua gadis-gadis itu seperti ingin ke kelas mengikuti syarahan atau pergi ke Bendahari untuk membayar hutang atau menyelesaikan urusan biasiswa.

Dia membayangkan, jika dia datang kepada kucing itu dan membelai kucing seperti yang selalu dilakukan oleh pencinta kucing di Instagram sambil diperhati oleh gadis-gadis yang sedang menunggu pak cik bas datang menjemput mereka bukankah itu satu bonus atau peluang? Matanya tertangkap pada seorang gadis yang menyandar pada tiang hentian bas. Sekali pandang pada gadis itu, dia dapat membaca raup wajah gadis itu. Tidak hanya wajah yang dapat ingati tapi dia dapat membaca personaliti gadis itu. Dari wajahnya, bentuk badannya yang tidak terlalu tinggi. Pinggulnya yang sedikit melebar ditutupi labuh cardigan biru gelap. Kelihatan sedikit bongkok belakangnya daripada cara gadis itu berdiri. Seluar jean biru lusuh dan rambut yang dibiar lepas kebelakang. Kekantung bawah matanya ada sedikit gelap seperti kekurangan tidur. Pipinya jika dia tersenyum pasti menaik dan kembung tapi sayang dia tidak tersenyum. Dia kelihatan suram seolah menyimpan begitu banyak kesusahan atau mungkin kegelisahan dalam diri. 

Dia mengagak gadis ini seorang yang pesimistik. Gadis yang pada hakikatnya punya impian dan potensi yang boleh diasah tapi selalu dihentam dengan masalah-masalah dalaman yang melibatkan perasaan dan hati yang menyebabkan dia kurang berkeyakinan. Atau mungkin gadis ini seorang yang semakin tidak berperasaan akibat teman lelakinya yang asyik mengawal hidupnya dan akhirnya teman lelakinya meninggalkannya atas alasan bosan atau tak sampai ekspektasi. Kemungkinan boleh saja berlaku. Lelaki douchebag seperti ini nyata ada dikalangan kita. Mungkin saja masalah keluarga. Ayah dan maknya sudah tinggal berasingan atau maknya sudah ada madu dan dia bersimpati dengan ibunya. Ah manusia, segalanya mungkin.

Jika dia menghampiri kucing yang masih bersidai itu dan membelainya, apa kemungkinan reaksi gadis itu? Mungkin dia akan cakap 'oh imamku!'. Ah, terlalu islamis. Membosankan. Tidak mungkin gadis yang kelihatan 'heartless' itu akan berfikiran semudah itu. Mungkin dia akan judge. Dan gadis itu akan berbisik dalam hatinya "ah, pura-pura. Pervert!". Atau dalam cara lebih positif mungkin dia berfikir "dunia ini patut ada lelaki macam ni". Ah takkan sesempit itu seorang perempuan menyukai si lelaki hanya kerana membelai kucing, bisik dia sendiri. 

Hampir dengan kucing, dia merendahkan badan dan tangan dihulur tanda mahu mengusap badan kucing itu. Seraya badannya disentuh, kucing itu terkejut dan tiba-tiba mengelupur seolah terkena renjatan elektrik lalu lari ke arah jalan. Prapp!... Tidak siapa boleh mengagak apa yang akan berlaku walau untuk sesaat akan datang kecuali Tuhan. Kucing itu lari menuju ke jalan dan mungkin ajalnya sudah tertulis mati di bawah tayar bas. Sedang elok kucing itu melintas, bas itu sampai tepat berenti pada hentian bas. Dia boleh mengagak kepala dan badan kucing itu penyet persis daging burger Ramli. Janin-janin yang dikandung si ibu kucing itu hanya mampu menyimpan hasrat untuk menjadi kucing yang baik bila dilahirkan nanti. Tidak sempat menuju kedunia nyata. Anehnya tidak kelihatan sisa otak kucing yang terburai. Tiada darah yang mencorak di aspal jalan. Tiada perut yang pecah atau sekurang-kurangnya mata kucing yang tercabut dan bergolek seperti guli. Tiada!. Aneh!.

Dia hanya terdiam. Masih cuba menghadam. Tindakan yang kecil menghasilkan impak yang besar. Dengan hanya niat untuk menyentuh kucing dengan angan-angan supaya dilihat gadis-gadis penunggu bas sebagai seorang lelaki yang penyayang bagai, berakhir dengan kucing dilenyek, driver tidak sedar apa yang dipijak, Sisa bangkai kucing tiada. Gadis-gadis penunggu bas menaiki bas. Kepala mereka kelihatan melalui tingkap dan menuju masuk ke dalam perut bas. Gadis heartless tadi kelihatan dan terus duduk di kerusi dua dari depan. Tanpa toleh, tanpa jeling, gadis itu hanya pandang kedepan tanpa beri peluang walau untuk melihat lelaki yang masih terbeliak matanya akibat melihat kucing digilis didepan mata.

Semuanya terlalu pantas sampaikan si kucing tidak sempat menjerit kesakitan apalagi mahu mengucap. Dia masih tercengang. Pemandu bas yang sedikit pelik melihat dia yang masih membulat mata, hanya mampu mengangkat tangan seperti menyoal "lu okay tak bro?".