Diseberang jalan sana, ada kurang lebih ada enam ke tujuh orang gadis yang sedang menanti bas universiti. Tujuh orang dia memastikan. Melihat pakaian yg dipakai, kesemua gadis-gadis itu seperti ingin ke kelas mengikuti syarahan atau pergi ke Bendahari untuk membayar hutang atau menyelesaikan urusan biasiswa.
Dia membayangkan, jika dia datang kepada kucing itu dan membelai kucing seperti yang selalu dilakukan oleh pencinta kucing di Instagram sambil diperhati oleh gadis-gadis yang sedang menunggu pak cik bas datang menjemput mereka bukankah itu satu bonus atau peluang? Matanya tertangkap pada seorang gadis yang menyandar pada tiang hentian bas. Sekali pandang pada gadis itu, dia dapat membaca raup wajah gadis itu. Tidak hanya wajah yang dapat ingati tapi dia dapat membaca personaliti gadis itu. Dari wajahnya, bentuk badannya yang tidak terlalu tinggi. Pinggulnya yang sedikit melebar ditutupi labuh cardigan biru gelap. Kelihatan sedikit bongkok belakangnya daripada cara gadis itu berdiri. Seluar jean biru lusuh dan rambut yang dibiar lepas kebelakang. Kekantung bawah matanya ada sedikit gelap seperti kekurangan tidur. Pipinya jika dia tersenyum pasti menaik dan kembung tapi sayang dia tidak tersenyum. Dia kelihatan suram seolah menyimpan begitu banyak kesusahan atau mungkin kegelisahan dalam diri.
Dia mengagak gadis ini seorang yang pesimistik. Gadis yang pada hakikatnya punya impian dan potensi yang boleh diasah tapi selalu dihentam dengan masalah-masalah dalaman yang melibatkan perasaan dan hati yang menyebabkan dia kurang berkeyakinan. Atau mungkin gadis ini seorang yang semakin tidak berperasaan akibat teman lelakinya yang asyik mengawal hidupnya dan akhirnya teman lelakinya meninggalkannya atas alasan bosan atau tak sampai ekspektasi. Kemungkinan boleh saja berlaku. Lelaki douchebag seperti ini nyata ada dikalangan kita. Mungkin saja masalah keluarga. Ayah dan maknya sudah tinggal berasingan atau maknya sudah ada madu dan dia bersimpati dengan ibunya. Ah manusia, segalanya mungkin.
Jika dia menghampiri kucing yang masih bersidai itu dan membelainya, apa kemungkinan reaksi gadis itu? Mungkin dia akan cakap 'oh imamku!'. Ah, terlalu islamis. Membosankan. Tidak mungkin gadis yang kelihatan 'heartless' itu akan berfikiran semudah itu. Mungkin dia akan judge. Dan gadis itu akan berbisik dalam hatinya "ah, pura-pura. Pervert!". Atau dalam cara lebih positif mungkin dia berfikir "dunia ini patut ada lelaki macam ni". Ah takkan sesempit itu seorang perempuan menyukai si lelaki hanya kerana membelai kucing, bisik dia sendiri.
Hampir dengan kucing, dia merendahkan badan dan tangan dihulur tanda mahu mengusap badan kucing itu. Seraya badannya disentuh, kucing itu terkejut dan tiba-tiba mengelupur seolah terkena renjatan elektrik lalu lari ke arah jalan. Prapp!... Tidak siapa boleh mengagak apa yang akan berlaku walau untuk sesaat akan datang kecuali Tuhan. Kucing itu lari menuju ke jalan dan mungkin ajalnya sudah tertulis mati di bawah tayar bas. Sedang elok kucing itu melintas, bas itu sampai tepat berenti pada hentian bas. Dia boleh mengagak kepala dan badan kucing itu penyet persis daging burger Ramli. Janin-janin yang dikandung si ibu kucing itu hanya mampu menyimpan hasrat untuk menjadi kucing yang baik bila dilahirkan nanti. Tidak sempat menuju kedunia nyata. Anehnya tidak kelihatan sisa otak kucing yang terburai. Tiada darah yang mencorak di aspal jalan. Tiada perut yang pecah atau sekurang-kurangnya mata kucing yang tercabut dan bergolek seperti guli. Tiada!. Aneh!.
Dia hanya terdiam. Masih cuba menghadam. Tindakan yang kecil menghasilkan impak yang besar. Dengan hanya niat untuk menyentuh kucing dengan angan-angan supaya dilihat gadis-gadis penunggu bas sebagai seorang lelaki yang penyayang bagai, berakhir dengan kucing dilenyek, driver tidak sedar apa yang dipijak, Sisa bangkai kucing tiada. Gadis-gadis penunggu bas menaiki bas. Kepala mereka kelihatan melalui tingkap dan menuju masuk ke dalam perut bas. Gadis heartless tadi kelihatan dan terus duduk di kerusi dua dari depan. Tanpa toleh, tanpa jeling, gadis itu hanya pandang kedepan tanpa beri peluang walau untuk melihat lelaki yang masih terbeliak matanya akibat melihat kucing digilis didepan mata.
Semuanya terlalu pantas sampaikan si kucing tidak sempat menjerit kesakitan apalagi mahu mengucap. Dia masih tercengang. Pemandu bas yang sedikit pelik melihat dia yang masih membulat mata, hanya mampu mengangkat tangan seperti menyoal "lu okay tak bro?".

Tiada ulasan:
Catat Ulasan