Jumaat, 3 November 2017

Komatos (intro)

Di luar jendela: Bunyian irama sisa hujan menghempas longkang serta dedaun. Speaker komputer: Suara Potishead sayup-sayup kedengaran. Lelangit bilik: Kipas yang belom dicuci bilahnya menawarkan bunyi angin. Aku ada diantaranya. Katil: Meringkuk sekujur badan manusia. Aku? aku tidak tahu. Comforter: Aku cuba mengingati bila kali terakhir aku membasuhnya. Ia tidak terlalu busuk, masih menyenangkan. Tubuh: Kerja seminggu buat jumaat adalah hari yang penat untuk berbuat apa-apa. Kemas bilik? basuh motor? Habiskan Metamorfosis dan novel Milan Kundera? Lepak dengan kawan? Itu hanya angan-angan waktu sedang bekerja. Ia masih melekat difikiran tanpa sebarang aksi. Katil ini telah merampas semuanya. Ahh, aku hanya ingin berbaring tanpa rasa. Fikiran: Rusuh? Sepi? Bingung? Tidak tahu aku berada di antara apa. Musik: trek lagu bertukar, Numb ambil tempat. Suara Beth Gibbson dalam lagu ini menjengkelkan. Ia terlalu dibuat-buat. Pintu: Ibu mengetuk bertanyakan sudah solat belum? Ada laksa di dapur. Aku hanya jawab ya beberapa kali. Apalah kehidupan kalau tidak berbohong kepada ibu? Puisi: didalam kepala ada beberapa rangkap yang kususun. Tentang? Bunyi hujan? Lagu Potishead? Bunyi kipas atau comforter yang berbau? Lama-lama aksara yang ku susun susut hilang, cuba ingat, ia terlalu penat untuk mengingati semula. Aku dapat lihat aksara-aksara itu terhapus bak asap rokok yang bersatu dengan udara. Kaki: Aku seperti merasakan sesuatu, aku alih comforter, aku tidak nampak kaki kananku. Aku ingin bangun, rupanya badanku sudah tiada. Kakiku sikit-sikit makin hilang. Cebis-cebisnya terbang seperti gumpalan asap lalu hilang. Tangan: cuba merapa wajah. Tak, ini bantal. Bukan wajahku. Di mana kepalaku? Musik: Intro Silence masih aku dapat cam. Bunyi kipas juga masih dapat aku dengar, kecuali jasadku yang telah hilang. Apakah aku sudah bersatu dengan udara? Berada  di antara semua bunyi tadi?


Tiada ulasan: