Perhimpunan Agung Umno sudahpun selesai baru-baru ini. Presidennya, Najib Razak dalam ucapannya terus bertegas dengan pendiriannya tentang pengekalan Akta Hasutan sebagai akta yang menjaga keamanan negara.
Jelas ramai yang tak bersetuju terutama umat pembangkang yang banyak mengkritik dasar kerajaan yang pincang dalam banyak aspek. Jujurnya saya boleh katakan yang saya sendiri tidak bersetuju dengan akta ini. Semangat demokrasi dan kebebasan bersuara rebah dicantas oleh akta yang tidak masuk akal ini.
Tidak perlu saya senaraikan siapa yang sudah meringkuk didalam kamar berjeriji besi atau tidak perlu saya berhujah memprrtikaikan akta ini kerana artikel ini ditulis untuk mempersoalkan ; adakah kita sudah bersedia untuk kebebasan bersuara dan semangat demokrasi yang asli?
Suara yang dicantas tanpa sedar
Persoalan seterusnya, adakah kita sudah bersifat demokrasi dalam semua hal?
Jika anda seorang ketua keluarga, adakah anda sudah memberi hak kebebasan kepada isteri atau anak anda? Baik kebebasan bersuara atau kebebasan memilih keinginannya? Adakah anak anda diberi ruang untuk memilih minatnya untuk mereka ceburi?
Jika anda seorang pendidik atau pendakwah, ada tak anda sediakan ruang untuk pelajar anda mempertanya atau mempersoal apa yang anda ajarkan? Atau anda hanya meminta mereka tunduk dan patuh pada ajaran anda?
Jika ada seorang ketua, adakah anda mempertimbangkan keputusan yang ingin anda lakukan bersama pekerja-pekerja anda? Atau anda hanya bersifat diktator membuat keputusan sendiri?
Jika anda seorang penulis atau pengkarya atau seorang pengkritik, sudah bersediakah tulisan anda dikritik, karya anda ditolak atau kritikan anda dikritik?
Bagaimana jawapan anda akan menunjukkan siapa anda. Bagaimana anda mampu melaungkan slogan kebebasan bersuara sedang anda tidak berlaku adil kepada diri sendiri, anak, isteri, pelajar, pekerja atau sesiapa saja dalam kehidupan seharian anda.
Jika anda sudah tidak berlaku adil dalam perihal ini, saya jamin akan ada Najib 2.0 atau Umno 2.0 kelak.
Celik diri
Bagi saya penting muhasabah ini supaya tidak lahir pemimpin yang sama seperti pemimpin kini. Mempertikai itu tidak salah kerna itu sebahagian dari ilmu tapi persoal diri itu lebih perlu dipertikaikan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan